BERITA BERKAITAN ALAM SEKITAR
KANGAR 27 Nov. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mahu negeri ini mengekalkan persekitaran yang cantik dan selesa, seiring dengan kualiti hidup rakyatnya.
Baginda bertitah, pihak berkuasa tempatan (PBT) haruslah mempunyai perancangan dan wawasan yang jelas, dalam ‘mencipta’ persekitaran yang ingin diwariskan kepada generasi akan datang.
“Mungkin tidak ramai tahu bahawa pada masa ini, suasana persekitaran Perlis disebut-sebut para pengunjung sebagai antara tercantik di rantau ini.
“Tanpa perancangan jangka masa panjang yang jitu dan mapan, kecantikan dan keselesaan ini sudah pasti sukar dikekalkan untuk diwarisi oleh anak cucu kita,” titah baginda.
Baginda bertitah ketika berkenan berangkat merasmikan Karnival Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Di Hati Rakyat 2016 dan Pelancaran Logo dan Maskot Rasmi MPK di Dataran Sheikh Ahmad, di sini semalam.
Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin yang diiringi anakanda kedua baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail disambut oleh Yang Dipertua MPK, Khairin Nazry Karim beserta ahli-ahli majlis MPK.
Yang turut hadir ke karnival melibatkan lebih 2,000 orang itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, antara negara yang boleh dijadikan contoh adalah Singapura yang mula membina keretapi bawah tanah, mengawal jumlah dan kualiti kenderaan serta memperkenalkan sistem pengangkutan awam yang efisien sejak 30 tahun lalu.
“Kesannya, suasana persekitaran di sana kekal cantik, bersih, terancang dan kualiti hidup kekal selesa.
“Begitu juga Amsterdam, Copenhagen dan Oslo serta beberapa bandar raya di Eropah lain yang memberi fokus dan menggalakkan rakyat mereka berbasikal untuk mengekalkan tahap keselesaan dan kebersihan alam sekitar,” titah baginda.
Pelbagai program menarik dianjurkan sepanjang karnival selama tiga hari itu iaitu bermula daripada 25 November lalu, antaranya adalah pertandingan woodball antara jabatan melibatkan 140 peserta lelaki dan perempuan.
No comments:
Post a Comment